Wednesday, 30 October 2013

TIPS UNTUK PEPERIKSAAN :)


BELAJAR UNTUK PEPERIKSAAN


Bersedia untuk belajar

Kepada pelajar SPM saya nasihatkan agar memberikan tumpuan kepada matapelajaran penting.  Iaitu matapelajaran yang membawa anda ke menara gading.  Matapelajaran ini ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan dua matapelajaran elektif (Fizik, Kimia, Biologi, Prinsip Akaun, Ekonomi, Sains Tambahan, Matematik Tambahan, Kejuruteraan). Namun begitu, sekiranya anda mampu, hendaklah anda dapatkan markah yang terbaik bagi semua mata pelajaran.  Sebab persaingan ke universiti kini semakin sengit.  Mereka yang berjaya biasanya memiliki pencapaian yang baik dalam semua mata pelajaran.


Buatkan jadual belajar untuk peperiksaan

Walaupun anda rasakan banyak yang perlu difahami dan diingati, jangan sekali-kali anda panik.  Sekiranya anda panik, anda akan mengundang lebih banyak masalah berbanding penyelesaian.    
Mula menyemak semua buku-buku yang ada termasuk nota sekolah, buku teks, buku rujukan, soalan-soalan ramalan dan soalan-soalan tahun lepas.  Pastikan semuanya lengkap dan dalam keadaan baik. 
  • Langkah pertama kenal pasti bab-bab yang susah dan belum anda kuasai untuk semua mata pelajaran.  Senaraikan bab-bab ini.  Senaraikan juga bab-bab yang telah anda kuasai dengan baik.
  • Langkah kedua buatkan analisa soalan-soalan sejak 5 tahun yang lepas.  Lihat bab-bab yang sering keluar soalan darinya.  Bab-bab ini merupakan bab-bab penting yang tidak boleh tidak mesti anda kuasai dengan baik.
  • Buatkan jadual perancangan belajar anda.  Agihkan tajuk-tajuk dari sekarang hinggalah seminggu sebelum peperiksaan.  Jangan diganggu minggu terakhir sebelum peperiksaan sebab minggu terakhir ini adalah untuk anda lakukan semakan terakhir nanti. 
  •  Mana-mana bab yang penting, mulakan ulangkajinya dahulu.  Lagi awal anda mengulangkaji bab-bab ini lagi cepat anda mengenalpasti dan seterusnya mengatasi setiap masalah.  

Mengingati Tajuk

Ramai pelajar tidak menyedari hakikat penting ini.  Kalau anda mampu mengingati apa tajuk-tajuk yang terkandung dalam sesuatu matapelajaran maka anda mempunyai gambaran yang jelas tentang apa yang anda pelajari.

Buatkan Nota

Setelah anda memahami apa yang dibaca, buatkanlah nota-nota ringkas. Ringkaskan setiap fakta menjadi lebih pendek bagi memudahkan anda mengingatinya.  Kenalpasti kata kunci dalam setiap fakta dan hafal.  Lakarkan peta minda atau peta konsep berdasarkan tajuk-tajuk dan kata kunci yang ada.  

Latih diri anda untuk peperiksaan

Syarat-syarat latihan peperiksaan ialah:
  1. Latih mengeluarkan maklumat dengan banyak, cepat dan tepat.
  2. Latih dalam tempoh masa yang tertentu.
  3. Anggapkan setiap latihan seperti peperiksaan sebenar.
  4. Latih menjawab mengikut strategi menjawab soalan yang berkesan.
1.  Latih mengeluarkan maklumat

Maklumat yang dibaca mestilah mampu dikeluarkan semula.  Oleh itu anda perlu sentiasa melatih diri anda untuk mengeluarkan maklumat yang telah dipelajari.  Perbanyakkan latihan-latihan seperti:
·         Menjawab soalan-soalan;
·         Menceritakan semula apa yang telah dipelajari;
·         Melakarkan kembali dalam bentuk peta konsep / minda;
·         Mengadakan perbincangan dengan rakan;
·         Menyediakan kad imbasan kecil.
·         Mengambarcarakan apa yang telah dipelajari.
·         Sekiranya anda pelajar SPM atau STPM, cuba hasilkan model jawapan soalan esei berdasarkan soalan-soalan yang ada.  Cuba pecahkan fakta-fakta penting dalam bentuk peta minda/konsep.  Ini memudahkan anda mengingati isi-isinya dalam peperiksaan sebenar kelak.

2.  Hadkan masa menjawab

Pastikan anda menjawab dalam had masa yang ditetapkan. 
Oleh itu anda perlu kerap menjalankan latihan ujian.  Iaitu menjawab soalan-soalan dalam had masa seperti dalam peperiksaan.

3.  Anggap seperti peperiksaan sebenar

Pastikan anda bebas dari gangguan, tidak melengahkan masa, tumpuan yang tinggi dan rasakan seolah-olah tekanan peperiksaan yang sebenar.  Elakkan dari meniru sepanjang menjalani latihan ujian.  Gunakan
 strategi menjawab soalan. Ingat masa berjalan, oleh itu jangan sekali-kali biarkan fikiran anda melayang.  Sekiranya soalan itu susah, maka berikanlah jawapan yang terbaik.  

4.  Strategi menjawab soalan

Untuk mendapatkan markah yang tinggi dan mengelak dari berlakunya kecuaian, anda memerlukan strategi menjawab soalan yang berkesan.
 Langkah-langkah berikut dapat membantu:

1.      Baca arahan terlebih dahulu.
2.      Baca arahan terlebih dahulu.
3.      Kenal pasti dan garis kata kunci kepada soalan.
4.      Jawab soalan mengikut turutan berikut:
·         Jawab soalan BONUS - Iaitu soalan yang anda pasti jawapannya betul.  Ia mungkin soalan yang telah anda ramal, atau yang pernah anda latih sebelumnya.
·         Jawab soalan yang senang -  Iaitu soalan yang mampu anda jawab hanya dengan satu kali cubaan.
·         Jawab soalan-soalan yang susah - iaitu soalan yang memerlukan masa yang panjang atau soalan yang anda memang tidak tahu jawapannya.
·         Semak - Pastikan semua soalan dijawab;  Untuk soalan objektif, pastikan tandanya betul.
·         Ulang jawab -  Kalau masih ada masa, ulang jawab soalan bonus dan senang.  Ingat! soalan inilah yang anda pasti lakukan kecuaian oleh itu semak dengan tujuan mencari kesilapan tersebut.  Bukannya menyemak dengan tujuan berpuashati dengan jawapan.  Langkah terakhir barulah ulang jawab soalan-soalan susah.  Itu pun sekiranya masa masih mengizinkan.

Mencari sebab (post-mortem)

Anda perlu mengkaji kelemahan diri anda setiap kali selesai menjawab soalan-soalan.  Setelah anda selesai membuat latihan ujian.  Semak setiap jawapan yang dibuat.  Sekiranya jawapan anda salah maka lakukan 'post-mortem', iaitu proses mencari sebab.  Setiap kesilapan ada sebab-sebabnya dan ini merupakan masalah utama yang perlu anda atasi.  Antara sebab-sebab kesalahan berlaku ialah:
  • Tidak tahu (tidak baca) - Ini bermakna persediaan diri anda kurang.  Maka berikan masa membaca tajuk-tajuk tersebut.
  • Tidak faham - Anda baca tetapi tidak faham.  Tanyakan pada guru atau rakan.
  • Lupa - Ini disebabkan anda kurang mengulangi apa yang telah dipelajari.  
  • Cuai - Pastikan anda mengikuti langkah-langkah dalam Strategi Menjawab Soalan di atas.
  • Keliru - Tanyakan pada guru tentang bentuk soalan yang mengelirukan anda.  Minta penjelasan dari guru sebelum hari peperiksaan agar kesilapan yang sama tidak diulangi.
Jangan buang masa 

Dalam suasana peperiksaan semakin hampir anda perlu gunakan setiap masa yang terluang untuk mengulangkaji.  Sekirannya masa yang terluang tidak sesuai untuk anda membaca dan menghafal, maka gunakan masa tersebut untuk anda melatih mengeluarkan maklumat.  Ceritakan apa yang telah anda pelajari kepada diri anda sendiri.  Lakarkan apa yang anda ketahui pada sehelai kertas.  Aktiviti sebegini mengukuhkan lagi ingatan anda dan memudahkan pengaliran keluar maklumat ketika dalam peperiksaan kelak.


SELAMAT BERAMAL , SEMOGA ANDA BERJAYA.

No comments:

Post a Comment