Monday 18 November 2013

Cerpen 2 : Antara Kita Ada ‘Something’


Oleh : fatinfauzi

Aishah membuang pandang ke luar jendela. Dari bilik kecil tempat dia berdiri sekarang, dapat diperhatikan keriangan anak-anak kecil bermain. Senyum manis meniti di bibirnya. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Betapa tenangnya berada di rumah ini bersama anak-anak yang boleh dikatakan berkongsi nasib dengannya. Cuma mungkin, kisah hidup mereka sahaja yang berbeza. Lamunannya terhenti apabila dia disapa seseorang.
“Haa… kak Aishah buat apa tu? Berangan ek?”
 Kira, gadis yang berusia 16 tahun itu menyapanya. Aishah senyum manis.
“Taklah, seronok tengok budak-budak dekat luar tu main.” Aishah mengambil tempat duduk berhadapan dengan Kira yang sudah melabuhkan diri di kerusi panjang.
“Kira sorang je? Mana member? Selalu berkepit je berdua?”
“Ada dekat sini,” celah Mira, gadis seusia dengan Kira yang muncul di sebalik pintu. Dia merapati Aisyah dan Kira sambil tersengih-sengih.
“Alah Mira, kau ni kacaulah. Aku baru nak dating dengan Kak Aishah.” Mira menjelir lidah apabila Kira mencebik bibirnya. Aishah yang melihat hanya menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum melihat telatah kedua-duanya yang sudah dianggap seperti adik-adik sendiri.
“Eh kak, akak tau tak, ada cikgu baru masuk tau tadi… handsome gila! Sesuai sangat dengan akak.” Beritahu Mira dengan nada teruja tiba-tiba.
“Eh, kau ni! Pandai-pandai nak padankan Kak Aishah dengan cikgu tu pulak!” Sela Kira sambil menampar paha Mira yang kini duduk di sebelah kanannya.
“Apa salahnya? Kak Aishah single, cikgu tu pun mesti single.” Mira tersengih-sengih seperti kerang busuk.
“Mana kau tahu dia single? Kau dah check semua?”
“Aku tahulah, tengok gaya dia… Alah, sebenarnya kau yang dah syok dekat cikgu tu kan? Tu yang kau tak bagi aku padankan dia dengan Kak Aisyah?” Mira sengaja menyakat. Bahu Kira dicuit-cuit membuatkan rakannya itu mengerut-ngerutkan kening.
“Eh, mana ada! Pandai-pandai je kau ni!”
“Haa…sudah-sudah. Korang ni, sehari tak bertekak, tak sah. Nama je best friend!” Aisyah akhirnya bertindak meleraikan pergaduhan manja Kira dan Mira itu.
“Nampak senang hati je, korang dah siap homework ke?” Aju Aisyah. Kedua-dua gadis yang duduk di hadapannya itu kembali senyum.
“Dah… tu yang kitorang datang sini. Nak mintak tolong akak,” balas Kira dengan senyuman yang semakin meleret.
“Oh, patutlah senyum tu nampak bermakna sangat kan? Nak mintak tolong apa?” Kira mencuit-cuit peha Mira menyuruh rakannya itu yang menyuarakan hasrat mereka.
“Alah macam biasalah kak, kitorang nak dengar cerita akak. Yang selalu akak cerita tu…” Aisyah mula mengerutkan dahi mendengar permintaan dari Mira itu.
“Eh korang ni. Masuk hari tu, rasanya dah lebih sepuluh kali akak cerita. Korang tak bosan ke dengar cerita yang sama je?”
“Sebab tak bosanlah kitorang nak dengar lagi kak… please kak, ceritalah lagi. Cerita akak tu boleh masuk dalam kategori best, wonderful, fantastic, amazing story ever!” Ujar Kira sambil mengenyitkan matanya pada Mira membuatkan rakannya itu juga mengangguk-angguk tanda setuju.
“Ha… sudah-sudah. Tak payah nak melampau sangat pujinya tu. Okey, akak cerita lagi. Tapi, korang jangan tertidur pulak nanti?” Aisyah mengangkat keningnya berpura-pura memberi amaran kerana dia tahu, mana mungkin mereka akan tertidur berikutan ini bukan kali pertama kisah ini diperdengarkan kepada mereka berdua.
Sebuah kisah yang merupakan latar hidupnya sendiri, yang tidak pernah jemu diceritakan kepada mereka sejak pertama kali mereka dipertemukan dulu.
“Orait kak, kitorang promise!” Kira dan Mira sudah mengangkat tangan tanda berjanji. Lalu keduanya menopang dagu pula menanti Aisyah memulakan perjalanan cerita.
“Okey, pada suatu masa dahulu, dihari yang damai lagi menyenangkan… akak telah mempunyai seorang kawan. Lalu kawan akak itu bernama Eli…”

###

Aku dan Eli memang rapat. Cukup rapat, cuma tak melekat. Kami berkenalan dari kami sama-sama mula bekerja di sebuah supermarket. Walaubagaimanapun, bukan cerita bagaimana kami bermula yang aku nak ceritakan di sini, tapi bagaimana kami berakhir, merupakan plot penting kisah yang bakal menjadi tatapan umum ini.
Hari tu, aku datang kerja macam biasa. Dari kejauhan aku yang dalam kereta dah nampak batang hidung Eli yang setia menunggu aku, pun macam biasa.
Sebaik kereta diberhentikan, aku turun dan berlari mendapatkan Eli sambil membuatkan muka yang aku sangka paling comel di muka bumi pada waktu itu. Sebenarnya riak itu khas aku buat untuk menutup salah aku yang entah ke berapa kali datang lambat ke tempat kerja. Sehingga yang jadi mangsa menunggu berjam-jam lamanya adalah Eli orangnya.
Eli menoleh ke arah kereta yang sudah mahu berlalu pergi. Kemudian dia menoleh muka aku kembali.
“Stok baru ke?” Dia menyoal. Aku hanya senyum sebagai balasan. Lalu aku kepit lengannya dan segera menarik beliau mengikut aku masuk ke dalam supermarket kerana kami sememangya bakal lewat.
Sebaik sahaja kami sampai di tempat ‘punch card’, seperti yang diduga, kami memang lewat. Dan di situ seekor makhluk yang feeling dirinya bodyguard supermarket itu telah menunggu dengan wajah seperti mintak tapak kaki aku dan Eli.
“Lambat lagi? Kau ingat supermarket ni atok kau punya?” Tengok tu, korang pun boleh nampak cara makhluk itu berbahasa kan?
Tapi aku dan Eli buat don’t know je. Malas nak layan makhluk tu. Kitorang bukan sama spesis. Aku dan Eli meneruskan sesi punch card dengan tenang.
“Sekali lagi korang datang lambat, aku akan pastikan korang menyesal!” Ugutan itu sedikit pun tidak menggetarkan hati kami. Aku sekali lagi mengepit lengan Eli dan terus berlalu meninggalkan makhluk tadi dalam keadaan yang pasti bengang seperti selalunya. Siapa suruh cari pasal dengan kitorang kan?

###

“Shah, aku cakap sikit ni kau jangan marah?” Eli sudah mula bersuara untuk memulakan ceramahnya pada hari ini. Aku pula hanya terus pura-pura sibuk menyusun barang-barang yang baru sampai dari dalam kotak ke rak yang terhidang di depan kami. Malas nak dengar Eli membebel sebenarnya, sebab aku tahu apa yang bakal dikatakan nanti.
“Sampai bila kau nak buat kerja ni Shah?”
“Sampai bila? Sampai barang-barang dalam kotak ni habislah!” Aku berseloroh sambil gelak dalam hati. Eli bengang, sengal lengan aku ditamparnya. Ketawa dalam hati aku tadi meledak keluar.
“Hish… perempuan ni kan, aku cakap betul-betul dia main-main! Seriuslah babe!” Bebel Eli macam makcik-makcik.
“Aku pun seriuslah ni. Cuba susun je barang tu, tak payah berbunyi?”
“Kau ni degil betul! Tak nak dengar cakap aku langsung!” Bentak Eli.
“Dengar cakap kau konon, macamlah kau tu baik sangat?” Eli sudah membuntangkan matanya. Mungkin tidak sangka, bait itu yang keluar dari mulut aku tadi. Itu lah, bakar aku lagi. Bukannya Eli tak tahu kawannya yang seorang ni memang kepala angin!
“Eh, korang berdua ni kalau tak menyakitkan hati aku tak boleh ke?” Aku dan Eli menoleh serentak. Bila masa pulak makhluk ni ada dekat sini? Damn! Sengaja nak buat aku panas hati. Tadi Eli, sekarang minah ni pulak!
“Kitorang buat apa?” Tanya Eli. Aku pula sambung menyusun botol-botol shampu yang dari tadi aku susun ke atas rak. Kalau itu boleh dipanggil susunlah kerana apa yang aku buat ialah menghempas-hempaskan botol-botol tersebut sebagai tanda protes dari hati.
“Buat apa kau tanya? Bukan ke korang kena susun barang-barang tu? Tapi dari tadi aku tengok korang berborak je. Bila masa nak habis susunnya??” Makhluk minah itu bersuara dengan lantang sekali. Beberapa orang pelanggan yang lalu-lalang sudah mula menoleh-noleh. Aku jadi hilang sabar.
“Woi, mak lampir! Kau tak payah nak kecoh sangat boleh tak? Kau tak nampak kitorang tengah susun barang-barang ni? Kau ingat kitorang main-main ke dekat sini?” Jerkahku dengan gangster sekali. Mak lampir ni memang patut diajar! Kerjanya menyakitkan hati orang je. Setakat pangkat supervisor dah berlagak mengalahkan tokey supermarket!
“Susun konon, kau ingat aku buta ke? Tak nampak yang korang tu tak buat kerja?” Ujar mak lampir yang masih mahu membakar.
“Hish… karang ada jugak yang aku sumbat dengan botol shampu ni karang!” Aku sudah mengambil salah satu botol shampu dan berkira-kira untuk menyumbatnya ke dalam mulut mak lampir. Tapi segera ditahan oleh Eli.
“Dah lah tu Shah, janganlah nak bergaduh pulak dekat sini. Orang tengok tu, malulah!” Eli cuba menyabarkan aku sambil terpaksa tersengih-sengih ke arah pelanggan yang dari tadi menjeling-jeling ke arah kami bertiga.
“Macam ni lah mak lampir, baik kau blah! Bawak sekali rambut kerinting kau yang banyak kutu ni!” Kata-kata halauan aku membuatkan mak lampir ternganga. Dia mengetap-ngetap bibirnya dengan penuh geram sebelum berlalu dari situ sambil menghentak-hentak kaki.

###

Hari seterusnya, aku kerja dengan wajah yang sangat monyok sekali. Sebabnya, tadi sebelum datang kerja aku bergaduh teruk dengan makcik aku.
“Babe, kau okey ke tak ni?” Eli yang perasan dengan riak aku yang ketara itu mula menegur. Aku angguk tak, geleng pun tak. Tugas sebagai cashier hari ni, aku teruskan walaupun mood nak kerja memang tak ada hari tu.
Tapi Eli memang kawan yang baik. Dia tahu bila aku ada masalah, bila aku happy, bila aku sedih, bila aku marah, bak kata semuanyalah! Jadi sebagai nak mengubati duka lara aku waktu tu, dia ajak aku lepak makan burger lepas kitorang habis kerja. Dia belanja.
Dia orderkan aku dua keping burger kosong, sebab dia tahu aku tak makan sayur. Bila aku tanya kenapa dua keping, katanya orang tengah layan perasaan elok makan banyak-banyak. Bolehlah lupakan masalah tu. Banyaklah… saja nak bagi aku gemuk, cakap je lah! Tapi itu pun dah berjaya buat aku senyum lebar hari tu. Eli… Eli…
“Kau gaduh dengan makcik kau lagi kan?” Tanya Eli. Kan aku dah cakap, Eli memang sangat faham aku. Dia tahu apa yang aku tengah lalui sekarang. Aku angguk je sambil makan burger yang dibelanja dengan lahapnya.
“Kenapa kau tak keluar je dari rumah tu babe? Kesian aku tengok kau asyik gaduh dengan makcik kau.”
“Cakap memang senang babe, kau pun tahu aku simpan duit nak sambung belajar kan? Nak sewa rumah lain kau ingat murah? Duit nak belanja lagi? At least, duduk dengan makcik aku, jimat. Aku cuma kena kasi dia duit tiap-tiap bulan je.”
Eli diam mendengar apa yang aku jelaskan. Aku tahu dia pun arif keadaan aku walaupun dia tak berada di tempat aku. Aku bukan senang macam Eli. Dia kerja dekat supermarket tu hanya sebab nak hidup berdikari. Padahal tiap-tiap bulan family dia bank-in kan duit.
“Kalau macam tu, kau berhenti je lah buat kerja tu. Kau dah tahu makcik kau tak suka kan?”
“Sudahlah, makcik aku tu memang bencikan aku. Tak kisahlah aku kerja apa pun, dia memang tak suka aku. Ye lah, aku kan hidup menumpang dengan dia, menyusahkan dia.”
“Tapi apa pun, kau memang patut berhenti buat kerja tu. Untuk kebaikan kau jugak.” Sambung Eli kemudiannya.
Aku menggaru-garu kepala. Burger yang aku kunyah pun aku rasa macam dah tak ada perisa bila mendengarkan kata-kata Eli itu. “Kau janganlah nak tambahkan pening kepala aku pulak. Tak cukup makcik aku, kau pun nak sakitkan hati aku jugak ke?”
“Aku bukan nak tambah masalah kau, tapi…”
“Dah lah Eli, apa kata kau berhenti je membebel tu? Aku nak makan burger ni.” Segera aku potong kata-kata Eli sebelum dia berpanjang-lebar lagi.
“Itulah kau setiap kali, bila aku cakap je mulalah kau nak mengelak. Aku tahulah aku ni pun bukannya baik mana nak nasihatkan kau, tapi aku ambik berat pasal kau. Aku sayangkan kau.” Tutur Eli membuatkan aku tiba-tiba tersedak burger yang cuba aku kunyah dari tadi.
Lalu segera itu aku menoleh.
“Sayang…?” Soal aku dengan wajah curiga.
“Ye lah, kau kan kawan aku? Mestilah aku sayang kau.”
“Ohh…” Kata aku perlahan sambil mengangguk. Sayang kawan… tapi kenapa aku rasa lain je bila dia cakap macam tu? Haih…
Aku meneruskan suapan sementara Eli aku kilas sedang mencari-cari sesuatu di dalam begnya.
“Kau ni makan macam budak-budak, comot sana-sini.” Ujar Eli sambil tangannya tiba-tiba menyapu sisa-sisa burger yang rupanya terpalit elok je kat pipi aku tanpa aku sedar dengan tisu yang dikeluarkan dari begnya tadi.
Aku kaget. Badan aku tiba-tiba mengeras macam patung sehingga terasa darah dalam badan pun seakan-akan berhenti mengalir. Sumpah aku tak faham apa yang aku rasa sekarang ni!
Eli senyum sebaik dia ‘selesai’. Kami menatap wajah satu sama lain buat seketika. Dup dap… dup dap… Aku dapat dengar bunyi jantung aku yang tiba-tiba laju tu. Mak aih… apa semua ni? Kenapa tiba-tiba perasaan aku jadi lain sangat ni? Sepantas itu aku mengalih pandangan ke arah burger di tangan.
“Alaa biarlah… aku memang suka makan comot, barulah comel.” Sengaja aku buat lawak, padahal nak tutup nervous je. Eli ketawa. Lalu burger tadi aku sambung kunyah perlahan.
Krik… krik… krik… Buat seketika, keadaan jadi sepi antara kami. Aku jeling Eli di sebelah, dia macam serius je kunyah burger dia. Apa lah, makan burger pun nak buat muka stress.
Aku cuba mencari idea untuk memecah kesunyian. “Eh… aku tanya kau pulak boleh?” Eli angguk sambil sopan-sopan lap mulut dia dengan tisu.
“Sampai bila kau nak kerja dekat supermarket tu?” Melihat Eli hanya diam tidak menjawab membuatkan aku menyambung kata-kata.
“Kalau aku jadi kau, tak payah susah payah kerja dah. Lepak aje dekat rumah. Ye lah, tiap-tiap bulan duit masuk jugak.” Kataku sambil tersengih-sengih. Eli mencebik.
“Weh, duit berbukit-bukit pun boleh habis tau kalau kau tak kerja.” Aku melepaskan tawa. Eli juga ikut ketawa. Kemudian dia sambung bersuara lagi,
“Entahlah… aku pun tak pasti. Tapi satu hari nanti aku akan berhenti jugak kerja situ dan capai cita-cita aku. Kau tahu tak cita-cita aku sebenarnya nak jadi apa?” Aku angkat bahu tanda tak tahu.
“Aku nak jadi cikgu.” Mendengarkan itu aku gelak kuat-kuat. Bengang je Eli dengar aku gelak macam tu.
“Kenapa kau gelak? Kau ingat aku tak boleh jadi cikgu?” Aku gelengkan kepala dengan ketawa yang belum berhenti.
“Bukan tu, cumanya tu pun cita-cita aku masa kecik dulu.” Eli memandang aku dengan wajah tak percaya.
“Tapi tu lah, tengoklah aku end up jadi apa sekarang ni.” Aku bersuara perlahan, seolah-olah sudah berputus asa.
“Kau jangan cakap macam tu. Selagi kita hidup, kita masih ada peluang untuk capai cita-cita kita. Kau jangan nak putus asa macam tu je. Kau kan nak sambung belajar? Kau belajar elok-elok nanti kau capailah cita-cita kau tu.”
“Entahlah… aku pun tak tahu apa aku nak jadi sebenarnya. Aku nak sambung belajar tu pun sebab nak ubah hidup aku. Aku rasa aku dah tak ada cita-cita.”
“Mana boleh macam tu, hidup ni kena ada cita-cita. Kena ada impian, baru boleh berjaya…” Kata Eli cuba membakar semangat aku. Tapi, aku rasa macam nak tergelak je bila tengok dia cakap bersungguh-sungguh macam tu.
“Bagus kau ni. Ada wawasan.” Aku cakap dengan nada menganjing sambil gelak-gelak. Dia menolak kaki aku dengan kakinya. Nasib kau lah Eli dapat kawan macam aku yang suka menyakat kau. Haha…
“Yang kau tu pulak, nak jadi apa? Dah lah makan, duduk mengangkang macam ni. Cuba buat perangai macam perempuan sikit.” Eli keluarkan lagi dialog makcik-makciknya akibat bengang dengan aku.
“Hello, aku memang perempuan okey? Kalau tak, tak adalah lelaki-lelaki tu semua tergila-gilakan aku.”
“Hei, diorang tu bukannya gilakan kau, tapi…” Eli tidak menghabiskan ayatnya sebaliknya hanya menunjuk tangannya dari atas ke bawah merujuk pada tubuh aku. Walaupun faham dengan maksudnya, aku buat-buat tak faham. Aku kembali mengunyah burger yang hampir habis.
Tapi Eli perasan muka aku dah lain.
“Sorry Shah, aku tak ada niat nak cakap kau macam tu…” Eli bersuara dengan nada bersalah. Aku senyum nipis. Tak mahu dia terus rasa macam tu kerana aku sendiri akui, tak ada salahnya cakap Eli itu.
Tiba-tiba irama lagu ‘Titanium’ berkumandang dari poket seluar. Aku jawab telefon sebaik melihat nombor yang tertera.
“I dah habis kerja dah ni…” “Okey, tunggu I tempat biasa.” Aku simpan kembali telefon dalam poket dan bangun melihat sekeliling, mencari-cari tong sampah di tepi jalan itu. Tak jumpa. Lalu aku simpan plastik pembalut burger tadi ke dalam beg sandang. Katalah aku pengotor, tapi aku tak suka buang sampah merata-rata. Tak ada sivik kata orang.
“Aku kena pergi ni, jumpa besok ek?” Sempat aku tenung Eli dan aku lihat dia mengangguk lemah. Terpancar riak kecewa di wajah kawan itu. Satu-satunya manusia yang benar-benar kisah pasal aku.
“Thanks for the burger…” Aku cuba untuk senyum lalu bergegas pergi. Tak sanggup rasanya terus melihat wajah kecewanya. Di tepi jalan itu, aku tinggalkan Eli sendirian.
Kaki aku teruskan berjalan, tapi terasa berat benar langkahnya. Aku tahu, hati aku yang rasa berat sebenarnya.
“Tak ada siapa yang rela kerja macam ni Eli, tapi dengan cara ni je aku boleh terus survive.” Aku berbisik sendiri sambil meneruskan langkah menuju ke tempat biasa aku menghabiskan malam-malam aku sebagai seorang ‘escort girl’.

###

“Aku kerja sampai hujung bulan ni je tau.” Kata Eli tiba-tiba semasa kami duduk sebelah-sebelah di kaunter cashier. Pelanggan tak ramai masa tu, bolehlah kitorang borak-borak. Tapi kata-kata Eli tadi dah buat aku terbeliak.
“Kenapa? Kau nak pergi mana Eli? Kenapa kau nak tinggalkan aku?” Aku mula menggelabah. Tak mungkin Eli nak tinggalkan aku. Tak mungkin!
“Eh, kau ni drama queen betul! Siapa pulak nak tinggalkan kau? Aku nak pergi Australia, jenguk family aku. Nanti aku balik la sini balik.”
“Fuhh… lega… ingat kau nak tinggalkan aku tadi. Tapi kenapa pulak nak berhenti? Asal tak mintak cuti je?”
“Aku ingat nak kerja tempat lain pulak. Ye lah, hari tu kau jugak tanya, sampai bila aku nak kerja sini kan?”
“Aku tanya je… tak payahlah berhenti betul-betul.” Aku bersuara perlahan sambil memuncung. Tak sangka pulak, aku tanya hari tu, hari ni Eli terus nak berhenti.
“Alaa… aku saja nak tukar angin,” Eli cuba menyedapkan hati aku.
“Kau nak kerja apa?” Aku bertanya sambil membuat muka penuh ingin tahu.
“Adalah…” Eli senyum sambil angkat sebelah keningnya membuatkan aku juga turut ingin senyum tapi dengan senyuman yang penuh pelik. Cute jugak dia buat muka macam tu tadi. He… he… he…
Ish… apa aku ni!
“Eleh… kau ni, dengan aku pun nak rahsia-rahsia…” Aku saja buat suara merajuk.
“Tak adalah… sebenarnya…” “Hei, si lembut! Dengar cerita kau nak berhenti kerja?” Belum sempat Eli menghabiskan ayatnya, tiba-tiba mak lampir datang dan menyampuk. Dia kini berdiri di antara kaunter aku dan Eli.
“Bagus tu memang bagus, tapi sepatutnya kau bawak perempuan tak siap ni berhenti kerja sekali.” Sambung mak lampir menunjuk ke arah aku lalu ketawa mengilai. Sikit pun aku rasa tak kelakar dengan apa yang dia gelakkan tu.
“Woi mak lampir celupar! Apa kau panggil dia tadi?” Aku sudah keluar dari kaunter dan berjalan menghampiri mak lampir.
“Apa kau cakap aku tadi?” Mak lampir pula menyoal tapi aku tak pedulikan dan kembali menyoal.
“Apa kau panggil dia tadi??” Kali ini dengan nada yang lebih tinggi.
“Si lembut! Kenapa?” Panggg!!
Bergegar pipi mak lampir itu aku lempang. Spontan. Sehingga Eli, beberapa orang pekerja di situ, mak lampir malah aku sendiri juga tergamam dengan tindakan reflek aku yang tak terjangka itu.
Aku dah biasa kalau mak lampir ni nak kutuk aku. Tapi pantang aku kalau dia cuba nak kutuk Eli. Kawan aku tu tak mintak dilahirkan macam tu. Ingat dia tak ada perasaan ke?
Perbuatan aku tadi menyebabkan mak lampir berang lalu cuba untuk menerkam aku. Maka kejadian terkam-menerkam itu berlarutan menjadi tolak-menolak, tumbuk-menumbuk serta terajang-menerajang antara kami.
Orang ramai yang berkumpul sudah seperti menonton perlawanan gusti di televisyen. Namun itu tidak mematahkan semangat kami untuk terus bertarung walaupun Eli sendiri sudah beberapa kali tergolek kerana cuba meleraikan pergaduhan kami.
“Kau ni memang tak guna. Dah lah perempuan murah!” Mak lampir itu masih mahu bersuara walaupun kelihatan darah sudah mula keluar dari celah-celah giginya. Kata-katanya yang memanaskan telinga membuatkan aku terus menerkam dia sekali lagi dan menumbuk tepat bibirnya dari depan. Dengan harapan kali ini dia sudah tidak boleh bersuara lagi. Geram aku dengan perempuan sekor ni!
Dan akibat dari pergaduhan aku dan mak lampir itu, aku dilayangkan surat amaran. Mujur cuma amaran. Ye lah, aku dah bantai supervisor, nasib baik aku tak kena buang kerja. Kalau tak, tak tahu lah mana aku nak kerja lepas tu. Bukan senang nak cari kerja zaman ni.
Semenjak tu, aku dan mak lampir tak lagi bertekak. Malah, dia tak lagi sibuk nak mencari pasal. Takut lettew! Ye lah kalau kitorang berperang lagi, makin buruk la wajah mak lampir tu pekena sepak terajang aku.
Namun begitu, perkara tu tak penting untuk aku highlightkan di sini tapi kejadian selepas pergaduhan aku dan mak lampir itulah moment penting untuk part ini.
Aku tilik setiap inci wajah di depan aku dengan penuh khusyuk. Eli yang masih sibuk mencuci luka di bibir aku sedikit pun tak sedar dirinya ralit aku perhatikan.
Dari sini aku dapat hidu bau perfume yang dia pakai… oh mak aiii… wangi gilaaaa… Ni yang buat jantung aku nak berdegup lebih kencang dari biasa ni! Segera aku pegang dada. Takut jantung aku berlari keluar dari badan.
“Kenapalah kau pergi bergasak dengan perempuan puaka tu? Kan tak pasal-pasal dapat cop mohor kat muka kau ni hah.” Eli bersuara sambil tangannya menyapu luka aku dengan krim yang sentiasa dia bawak dalam beg sebagai persediaan kecemasan katanya.
“Dah dia kurang ajar, takkan aku nak senyum je dengar dia kutuk kau macam tu?” Aku menjawab selamba seolah-olah tak mengalami luka apa-apa.
“Dia cari pasal dengan aku, kau tak payahlah nak hangin sangat. Nasib baik kau kena warning je. Kalau kena buang macam mana?” Kini tangan Eli beralih untuk menuam lebam di muka aku lalu menyambung bebelannya,
“Kerja ni penting untuk kau Shah. Kau jangan buat hal macam ni lagi okey? Kau suka buat aku risau tau…” Di hujung kata Eli itu suaranya agak perlahan. Menusuk jauh ke sudut hati aku.
Saat ni aku dapat rasakan, sifat caring yang dia tunjuk tu buat aku rasa disayangi. Tiba-tiba aku nampak dia macam gentleman sangat! Ditambah pulak dengan sentuhan lemah-lembutnya sekarang, buat aku semakin hilang punca.
Aku ni perempuan. Naluri aku penuh keperempuanan. Jadi jika aku dilayan baik-baik macam ni, hati mana yang takkan tertawan?
Sedang Eli masih leka merawat luka-luka di muka aku, aku juga semakin leka menilik wajahnya. Tiba-tiba mata aku tertarik untuk memandang tangannya yang berurat-urat. Oh my… jantan habis! Tanpa disedari, aku mengulum senyum.
Tapi perbuatan aku kali ini berjaya ditangkap oleh Eli. Dia mengerutkan kening.
“Yang kau ni dah kenapa perempuan? Pandang aku macam tu? Buat aku nervous je lah!” Eli menjeling aku dengan riak cuak. Senyum aku semakin melebar.
“Kau ni… cute jugak ek?” Aku menyakat lagi bila melihat Eli sudah tidak tentu arah begitu.
“Eh, kau baru tahu aku ni cute?” Eli buat-buat bersuara selamba. Dia kembali menuam lebam di muka aku.
“Emm, Eliii….” Panggil aku dengan nada meleret. Eli tidak menyahut tetapi hanya menoleh memandang aku yang sedang tersengih menyerupai kerang busuk.
Melihatkan wajah aku itu baru dia bersuara menyoal. “Dah kenapa pulak senyum-senyum macam tu. Kepala kau dah tak okey ek, lepas kena hentam dengan mak lampir tadi?”
“Bukanlah!” Bentak aku dan kemudian kembali sengih.
“Kau… free tak malam ni?” Aku bertanya tapi masih dengan reaksi teragak-agak.
“Kenapa?” Eli menyoal kembali dengan muka peliknya.
“Jom tengok wayang?” Eli senyum memerli.
“Muka dah lebam-lebam sana sini. Tu, bibir kau tu… dah nak terkoyak aku tengok! Ada hati nak tengok wayang lagi?” Eli ketawa sambil menggeleng-geleng kepala.
“Alaa, jom lah?” Aku memujuk dengan bersungguh-sungguh. Entah kenapa ntah, tiba-tiba aku rasa nak sangat keluar dengan dia malam ni.
Eli mengangkat sebelah keningnya lalu tersenyum. Aku dapat menangkap riak setuju dari situ.
“Suka hati kau lah… bukan aku yang malu nak keluar dengan muka lebam-lebam macam ni…” Eli sudah tergelak dan aku mencebik. Tetapi kemudiannya aku senyum.
“Cool… malam ni kau datang rumah aku tau? Kita gerak sama-sama.”

###

Aku hanya mampu melihat satu persatu barang-barang aku dilempar keluar dari rumah. Makcik aku dah serupa orang gila sekarang ni. Selalu dia ugut je nak halau aku. Hari ni dia buat betul-betul.
Puas aku rayu, aku pujuk supaya aku tak dihalau tapi masih tak mampu mengubah pendirian makcik aku yang memang dah nekad nak halau aku malam tu jugak. Walaupun aku dah meraung-raung menangis meminta simpati dia, dia tetap tak endahkan. Memanglah orang tua tu tak ada perasaan! Mana aku nak pergi malam-malam macam ni?
“Berambus kau! Aku dah tak nak tengok muka kau lagi!” Lepas dia halau aku, terus dia masuk rumah dan kunci pintu tanpa pedulikan aku lagi.
Dengan air mata yang berlinang aku kutip satu-satu barang aku yang dilempar tadi. Baju-baju yang berselerak atas lantai depan rumah makcik aku tu aku masukkan dalam beg baju yang dah nak rabak.
Sebaik aku melangkah keluar dari pagar rumah, aku nampak Eli berdiri di sebalik pokok dengan wajah yang sayu.

###

Kini aku dan Eli duduk di bangku bus stop yang berhampiran. Eli hanya diam melihat aku yang masih belum berhenti menangis. Aku pasti, Eli mesti dah dengar beberapa caci maki makcik aku tadi.
Memang aku tahu, aku bukan perempuan yang baik. Tapi sampai hati makcik aku hina anak sedara dia sendiri. Aku tak faham kenapa dia benci aku macam ni sekali selama ni? Apa yang aku atau keluarga aku dah buat pada dia?
“Apa lah malang sangat nasib aku ni Eli? Dah lah aku hidup sebatang kara, tak ada mak bapak. Ada makcik pulak, bencikan aku. Kenapa nasib aku macam ni Eli, kenapa?” Dengan nafas yang tersedu-sedan aku soal Eli seolah-olah dia tahu jawapannya. Tapi sebenarnya aku cuma nak luahkan perasaan aku pada Eli.
Air mata, walaupun aku lap beberapa kali, tetap jugak tak nak berhenti mengalir. Kepala aku dah rasa berat sebab menangis terlalu lama.
“Sabarlah Shah. Kau jangan cakap macam ni. Ni semua dugaan, ada orang yang nasibnya lagi malang dari kau.” Ujar Eli cuba memujuk aku. Aku pandang muka Eli waktu tu. Nampak dia pun turut sedih dengan apa yang jadi pada aku. Tapi, dia tetap saja tak dapat rasa apa yang aku rasa sekarang ni.
“Siapa yang lagi malang dari aku? Aku tengok kau bahagia je!” Aku bersuara membentak. Kesian Eli, dia cuba nak pujuk aku tapi aku marah-marah dia pulak.
“Bukan aku lah. Tapi… Hmmphh…” Eli hembuskan nafasnya sebelum menyambung kata-kata,
“Dah lah tu, malam ni jom ikut aku balik dulu. Kau tidur rumah aku je.” Kata-kata Eli tadi tak dihabiskan sebaliknya terus mempelawa aku.
“Kau gila nak tidur rumah kau?” Aku cuba membuntangkan mata yang dah sepet.
“Habis nak buat macam mana, dah kau tak ada tempat tinggal sekarang ni.”
“Tak apa lah, aku tidur dekat bus stop ni aje.” Aku dah siap-siap untuk berbaring di bangku bus stop itu sambil tepuk-tepuk beg lagi untuk aku jadikan alas kepala, tapi pantas aje aku ditarik oleh Eli.
“Kau jangan nak mengada-ngada. Gila apa nak tidur sini? Jom ikut aku!” Eli menarik lengan aku agar berjalan mengikutnya sambil sebelah tangannya membibit beg baju aku yang dah nak koyak tu.
“Tak apa ke aku tidur rumah kau ni? Hariz tak marah ke?” Aku menyoal dalam perjalanan menuju ke rumah Eli itu.
“Alah… dia faham lah. Lagipun sementara je, besok kita carilah rumah lain untuk kau stay.”
Dan aku terus saja mengikut buntut Eli sehinggalah kami sampai di rumahnya.

###

Aku perhatikan saja Eli yang sibuk mengibas-ngibas katil. Lalu dia menepuk-nepuk pula bantal-bantal yang ada di atas katil itu.
“Dah siap, kau dah boleh tidur sekarang.” Kata Eli setelah selesai semuanya sambil tersengih. Aku membalas sengihannya lalu terjun ke atas katil. Eli ternganga. Mesti bengang sebab dia baru je kemas katil tu.
“Ni selimut. Tengah-tengah malam nanti sejuk kau pakailah.” Selimut yang hanya Eli pegang tadi dilipat kemas-kemas dan diletakkan di hujung kaki katil.
“Kau ni… layan aku macam aku pertama kali nak tidur pulak…” Kata aku lalu mencapai satu bantal untuk dikepit.
“Tak adalah, aku cuma nak pastikan kau selesa je tinggal dekat rumah aku ni.” Aku senyum di balik bantal mendengar kata-kata Eli itu.
“Alah Eli, aku tak merempat malam ni pun dah cukup baik. Nasib baik kau sudi kutip aku.”
“Jangan cakap macam tu Shah. Kalau bukan aku yang tolong kau, siapa lagi? Kita kan sahabat…” Eli mengukir senyum. Terangkat kening aku.
‘Sahabat…?’ Erk… aku terkedu sekejap dengar perkataan tu.
“Kau jangan layan aku baik-baik sangat macam ni. Aku boleh jatuh cinta dengan kau tau!” Nada aku memang bunyi seloroh, tapi jauh di hujung hati, aku rasa kata-kata tu aku benar-benar maksudkan.
Eli senyum. “Dah lah, kau tidur dulu okey? Besok kita sambung borak lagi.” Lalu dia terus keluar dari bilik selepas memadamkan lampu dan merapatkan pintu.
Namun tiba-tiba pintu itu dibuka kembali.
“Eh…lupa pulak nak cakap… good night…” Eli senyum lagi lalu keluar semula dari bilik. Aku hanya ketawa melihat gelagat Eli. Kelakar betul dia tu!
Aku baring atas katil sambil senyum-senyum. Namun kemudian, aku kembali mengenang ayat yang Eli keluarkan tadi.
“Kita kan sahabat…” Kenapa aku rasa macam sebak je bila dia cakap macam tu? Ke aku anggap dia lebih dari tu?
Selimut yang Eli letakkan di hujung katil tadi, aku tarik menutupi badan lalu terus aku pejamkan mata.

###

“Mak… tolong mak… tolong…” Aku menggigil-gigil ketakutan. Tidak lama kemudian pintu bilik dibuka dari luar. Sebaik lampu dinyalakan aku nampak jelas wajah cemas Eli, lebih cemas dari aku yang sedang berdiri di atas katil sekarang ni.
“Kenapa Shah? Apa yang dah jadi?” Aku tidak menjawab sebaliknya hanya menuding jari ke arah satu sudut di atas katil. Ada lipas sedang merayap-rayap di situ, bukan satu tapi dua ekor. Mungkin tengah bercinta. Tapi kalau ye pun nak bercinta, tak payah lah sampai naik atas badan aku!
Aku menggeliat-geliat geli, seperti masih dapat rasa yang lipas itu memanjat kaki aku sebentar tadi.
Eli dengan pantas datang dan menangkap lipas-lipas tersebut lalu membuangnya ke luar tingkap. Aku akhirnya menarik nafas lega.
“Kau okey ke?” Soal Eli.
“Okey… Thanks babe…” Aku senyum malu-malu. Tak pasal-pasal aku dah menyusahkan Eli tengah-tengah malam macam ni. Tapi nak buat macam mana? Aku memang ngeri tengok lipas, apatah lagi kalau dah merayap-rayap atas badan aku, memang menjerit histerialah jawabnya. Tapi, tiba-tiba aku teringat sesuatu.
“Eh, bukan kau pun takut lipas ke? Rilek je kau pegang lipas-lipas tu tadi?” Aku bertanya dengan hairan. Setahu aku, Eli sama spesis je dengan aku, alergi dengan lipas. Bukan seekor yang dia pegang tadi, tapi dua! Eli aku tengok buat muka berfikir.
“Ye lah… Aku pun tak perasan macam mana aku boleh jadi berani tadi. Yang aku tahu, aku panik gila tengok kau jerit-jerit, tak sedar pulak aku selamba je pegang lipas tu.” Eli garu-garu kepalanya sambil tersenyum sewel.
Aku cuma senyum di sebalik selimut yang aku tarik menutupi satu badan aku. Tak sangka Eli jadi penyelamat aku malam tu, padahal dia sendiri pun takut. Eli… kau lah superhero aku!

###

Aku dan Eli kini berdiri di depan pagar sebuah rumah. Aku pandang Eli yang berdiri di sebelah aku. Dari tadi aku ikut dia sampailah ke sini. Puas aku tanya mana dia nak bawak aku, tapi dia hanya suruh aku diam dan ikut.
“Kenapa ek kita dekat sini?” Aku tanya dia sambil meninjau-ninjau keadaan dalam perkarangan rumah. Suasananya agak riuh rendah dengan suara kanak-kanak bermain.
“Jom masuk,” hanya itu yang Eli ucapkan lalu melangkah masuk ke perkarangan rumah tersebut. Aku hanya membontoti.
Aku tersenyum melihat gelagat Eli yang ceria melayan budak-budak di situ bermain. Tak hairanlah bila diorang semua nampak ngam aje, kerana kata Eli dia memang selalu datang melawat anak-anak yang berada di ‘Rumah Penyayang’ itu.
Tak sangka, ini sisi lain Eli. Dalam diam dia menjalankan tanggungjawab sosialnya di rumah kebajikan ni. Makin aku kagum dengan lelaki tu.
Kata-kata Eli tadi masih terngiang-ngiang di telinga aku. Katanya, kalau kita rasa masalah kita besar, ingatlah, ada orang yang masalahnya lagi besar dari kita. Kalau kita rasa diri kita bernasib malang, sedarlah, ada orang yang lebih tak bernasib baik dari kita.
Bila aku jumpa diorang ni semua, baru aku sedar ramai lagi orang tak bernasib baik dari aku. Kalau diikutkan, masalah aku ni tak besar mana nak dibandingkan dengan apa yang mereka alami. Ada pulak tu yang usianya masih kecil tapi dah diuji dengan dugaan yang berat. Apa yang aku lihat hari ni sedikit sebanyak dah mengajar aku erti ketabahan. Aku bersyukur sangat! Kalau Eli tak bawak aku datang sini, mesti sampai bila-bila aku hanya tahu menyalahkan takdir.
Eli perasan aku yang memerhatinya dari satu bangku simen yang terletak di taman kecil di halaman rumah itu, lalu dia pun menghampiri.
“Kenapa kau suka datang sini?” Tanya aku sebaik dia duduk di sebelah aku.
“Sebab orang-orang dekat rumah ni semuanya penyayang…”
“Ye lah… kau nak cakap, yang kau ni pun penyayanglah kan?” Eli gelak geli hati.
Alamak! Aku biasa tengok dia gelak, tapi kenapa kali ni aku nampak macam macho je gelak dia tu?
“Satu hari nanti kalau kau nak cari aku, carilah aku dekat sini.” Gulp. Aku menoleh Eli.
“Kenapa pulak aku nak cari kau? Kau takkan pergi mana-mana kan?”
“Manalah tau…” Aku tenung muka Eli dengan dahi yang berkerut-kerut. Apa je yang dimaksudkan Eli tu? Kenapa tiba-tiba dia cakap macam tu?
“Tak payahlah nak buat muka macam tu sangat. Aku cakap je, janganlah fikir sangat.” Eli senyum, membuatkan hati aku senang sikit. Aku harap dia memang betul-betul cakap je, dan takkan jadi kenyataan. Tak sanggup aku nak fikir kalau hidup aku betul-betul tanpa Eli satu hari nanti.

###

Aku guling-guling atas tilam. Mata aku memang tak boleh lelap walaupun dah dekat sejam setengah aku cuba untuk tidur. Siut arr… asal payah sangat nak tidur malam ni? Aku toleh kanan, nampak muka Eli tengah senyum. Toleh kiri pulak nampak muka Eli tengah gelak. Sawan Eli ke aku malam ni?
Betul ke apa yang aku rasa sekarang? Aku ada perasaan dekat Eli ke? Dia tu kan kawan baik aku sendiri? Biar benar?
Hai… memang pelik bila tiba-tiba aku boleh ada perasaan macam ni. Macam mana ntah aku boleh jatuh suka dengan lelaki yang lebih feminin dari aku? Eli tu kalau jalan, lebih lenggang-lenggok dari aku. Bila bercakap pulak, aku pun tak lemah-lembut macam tu. Bab berfashion, dia yang lagi up to date dari aku. Sopan-santun dia, memang sah-sah kalahlah aku!
Tapi aku suka bila tengok dia senyum, fuhh… masa tu kalau aku baling dia dalam kopi pahit, gerenti manis kopi tu! Tak payah pakai gula dah. Sweet gila!
Cumanya aku sedar, sefeminin-feminin dia tu, ada masa tu tersasul jugak sifat gentleman dia. Dan kadang-kadang aku nampak, dia lebih gentleman dari lelaki-lelaki yang konon-kononnya jantan. Tu yang buat aku selalu rasa berdebar-debar bila dengan dia tu!
“Ada apa dengan kita sebenarnya Eli? Kenapa setiap kali bila aku dengan kau, aku rasa lain?”
“Ke… aku je yang rasa lain? Dia?” Aku berteka-teki dengan diri sendiri lalu mengeluh.
Aku cuba pejam mata aku lagi. Tapi tiba-tiba aku nampak lagi Eli senyum. Aku garu kepala yang kebetulan gatal.

###

Hmm… aku hidu bau harum. Eli datanglah tu. Dia kalau datang, dari jauh dah boleh tahu. Mana tak nya, perfume dia dari sebatu jauh dah boleh bau. Aku betulkan duduk dan pose se-cute yang mungkin.
“Sorry babe lambat sikit. Ramai orang kot. Nah kau punya.” Dia menghulurkan ABC dalam mangkuk yang dia bertungkus lumus beli tadi. Ye lah, beratur panjang katanya.
Tengah panas terik macam ni, memang layan kalau dapat makan ABC. Walaupun kitorang lepak tepi jalan je.
Aku senyum ke arah Eli yang duduk mengadap aku. Aku pandang dia, dia pandang aku. Cewahh… dah macam bercinta la pulak! Memang best moment tu beb!
Tiba-tiba aku macam dapat kekuatan. Kekuatan untuk tanya dia satu soalan cepumas…
“Eli… kau tak rasa ke antara kita ni macam ada something?” Selamba je satu persatu ayat keluar.
“Ye ke? Tak rasa pun. Apa yang something-nya?” Balas Eli biasa. Bengang je aku dengar.
“Takkanlah kau tak rasa?” Eli menjungkit bahu, mencebik bibir.
“Tak adalah! Aku tak rasa apa-apa pun.”
Kau ni memang kayu! Aku jerit depan muka Eli, tapi cuma dalam hati. Aku dah bagi hint macam tu pun kau masih tak faham? Aku tarik nafas kuat-kuat dan hembus perlahan. Wajah Eli aku toleh.
“Tapi aku rasa something…” Aku bersuara seakan berbisik. Eli pandang aku. Aku perasan dia menelan liur.
“Dah lah, kau jangan nak merepek.” Eli seboleh-bolehnya mahu mengelak. Dia hanya terus makan ABCnya sampai habis tanpa mempedulikan apa yang aku cakap tadi.
Betullah apa yang aku persoalkan. Cuma aku je yang rasa lain. Dia sikit pun tak rasa apa yang aku rasa.
“Kenapa? Kenapa kau tak suka aku?” Suara aku tiba-tiba meninggi waktu tu membuatkan Eli terperanjat.
“Bila pulak aku cakap tak suka kau?” Eli menyoal dengan mata terbuntang.
“Habis tu, kenapa kau nak mengelak? Aku try nak confess dekat kau ni. Kalau nak tunggu kau, tak tahulah bila!”
“Kau merepek apa ni? Aku suka kawan dengan kau tau. Jangan sebab ni, persahabatan kita putus!”
‘Kalaulah kau tahu Eli, yang aku anggap kau lebih dari tu…’ Monolog aku dalam hati.
Aku menenung muka Eli walaupun Eli dah pandang tempat lain.
“Aku bukan lelaki yang baik, Shah.” Sambung Eli apabila aku hanya berdiam. Dia bersuara tadi tanpa memandang aku.
“Habis apa bezanya dengan aku? Kau saja buat alasan untuk tolak aku kan?”
“Aku tak layak untuk kau! Kau carilah lelaki yang lebih baik…” Aku kembali diam. Antara kami senyap tak bersuara. Yang aku dengar hanya bunyi angin yang bertiup.
Tiba-tiba aku ketawa kuat-kuat. Saja. Dengan harapan ianya nampak real.
“Kau ni Eli, aku gurau je lah.” Eli aku lihat mengerutkan kening. Mesti dia masih ragu-ragu, betul ke semuanya tadi hanya gurauan aku. Aku pukul bahunya sambil ketawa.
“Kau pun tahu aku suka berdrama kan? Jadi tak?” Aku gelak lagi konon seperti nak pecah perut. Eli menarik nafas lega membuatkan aku yakin lakonan aku berjaya.
“Kau ni, aku ingat betul-betul la tadi. Suka buat aku macam nak sakit jantung tau!” Eli kemudiannya ikut turut ketawa.
Aku sambung berpura-pura ketawa. Sakitnya… Tuhan je yang tau. Kenapa kau Eli? Kenapa kau yang curi hati aku?

###

“Kau tahu tak, sebenarnya kau lah yang macam makcik-makcik!” Kata Eli apabila dia terpaksa mendengar bebelan aku sejak dari tadi. Mana tak nya, aku risau. Hari ni Eli akan terbang ke Australia. Aku yang menghantar dia ke airport ni dari tadi tak sudah-sudah berpesan itu dan ini.
Rasa risau aku sekarang ni mengalahkan nak hantar laki pergi berperang. Aku takut sebenarnya. Aku takut kalau aku tak jumpa Eli lagi.
Tak lama kemudian, kedengaran panggilan penerbangan yang akan Eli naiki meminta para penumpang bersiap-sedia untuk berlepas. Aku pandang Eli yang dah mula mengangkat beg-begnya. Beratnya hati nak lepaskan dia!
“Ingat, belajar elok-elok. Capai cita-cita kau. Biar orang nak cakap apa, janji kau sendiri tahu, kau ada impian.” Kini giliran Eli pula meninggalkan pesannya. Tapi kata-kata Eli itu mengundang rasa tak sedap hati aku.
“Boleh tak jangan cakap macam kau dah tak balik sini lagi? Kau dah janji kan, takkan tinggalkan aku?” Aku bersuara keras. Geram betul aku dengan Eli. Tapi Eli aku tengok elok je senyum.
“Hish… kau ni, aku nak berdrama sikit pun tak boleh. Kau ingat kau je drama queen?” Kata-kata Eli itu buat aku tergelak. Eli juga turut ketawa.
“Ye… aku balik la. Takkan aku nak tinggalkan kau kot?” Sambung Eli lagi. Kini aku mampu senyum lega.
“Nah ambik duit ni, pakai untuk kau sambung belajar.” Eli tiba-tiba menghulurkan aku sekeping cek. Kening aku kerutkan.
“Eh… apa ni? Aku boleh cari duit sendiri la…” Aku tolak cek yang dihulurkan pada aku. Entah berapa nilainya, tak pulak aku kisah.
“Hishh… kau ni janganlah degil. Duit ni memang untuk kau. Ambiklah, hadiah dari aku untuk kawan yang paling aku sayang.” Aku pandang wajah Eli yang sedang mengukir senyum. Rasa sebak tiba-tiba menyelubungi diri.
“Janji dengan aku, berhenti buat kerja yang merosakkan diri kau tu. Kau tu perempuan, kau kena jaga diri kau baik-baik. Jangan biarkan lelaki terus ambik kesempatan atas kau. Kau patut cari lelaki yang sayangkan kau, bukan mempergunakan kau.” Air mata aku mula bergenang mendengar kata-kata Eli. Tersentuh sangat hati aku mendengar nasihatnya itu.
“Kenapa bukan kau je lelaki tu?” Tanya aku perlahan. Tangan aku yang memegang cek yang dia bagi masih berada dalam genggamannya. Kemudian aku lihat Eli menggeleng perlahan.
“Kau layak dapat yang lebih baik lagi, bukan aku…” Dia bersuara berbisik. Aku tatap mata Eli yang juga sedang pandang mata aku dalam-dalam.
“Err… Eli…” Aku kumpul segala kekuatan dalam diri aku untuk luahkan pada dia. Kali ni aku betul-betul akan berterus-terang. Aku tak nak berpura-pura lagi. Cukup sedia, aku hembuskan satu-satu.
“Masa aku cakap aku rasa something dekat kau hari tu, sebenarnya aku tak bergurau. Apa yang aku cakap tu memang betul.” Tiba-tiba dia lepaskan pegangan aku. Eli senyum nipis.
“Aku tahu, tapi aku pun tak bergurau. Aku memang tak boleh terima kau.” Mendengarkan itu aku tergamam. Tak tahu nak cakap apa. Dia dah tahu?
“Aku pergi dulu… jaga diri baik-baik.” Dan Eli terus berlalu tanpa menoleh lagi. Aku yang masih tergamam hanya mampu memerhati langkahnya yang semakin jauh.
Masa tu sikit pun aku tak sangka, yang itu merupakan kali terakhir aku tengok dia, cakap dengan dia, dengar nasihat dia dan bergurau dengan dia. Dan tanpa aku sedar, pemergian dia hari itu membawa separuh dari diri aku terbang bersama dia.

###

“Macam tu lah kisah akak dan Eli berakhir… Lepas dari tu, dia terus lenyapkan diri tanpa sebarang berita…” Ujar Aishah mengakhiri ceritanya. Dia menoleh ke arah Kira dan Mira yang sedang menitiskan air mata. Sama seperti selalu, setiap kali dia habis bercerita.
Aishah menghulurkan sekotak tisu sambil tersenyum ke arah mereka berdua. Lantas keduanya menarik seorang sehelai.
“Tapi kak, kenapa agaknya abang Eli tu hilangkan diri macam tu je? Apa yang jadi antara akak dengan dia sebenarnya?” Aju Kira sambil menyapu air matanya yang mengalir.
‘Abang Eli?’ Erkk… Kelakar pulak bunyinya. Aishah senyum mendengar pertanyaan Kira itu. Dia sendiri tidak ada jawapannya.
Dia tak pernah tahu kemana dan kenapa Eli menghilang. Cuma Aishah masih ingat apa yang keluar dari mulut Hariz, kekasih Eli yang dia terserempak dengan lelaki lain beberapa bulan selepas Eli menghilangkan diri.
“Hei… dia tak balik sampai sekarang tu bukan salah aku! Dia yang nak tinggalkan aku!” Hariz menyapu darah yang mengalir di bibirnya akibat ditumbuk oleh Aishah sebentar tadi.
“Dia yang nak tinggalkan kau? Maksud kau?” Aishah menyoal dengan nada tak percaya. Setahu Aishah, Eli sangat sayangkan lelaki itu. Mustahil dia mahu meninggalkan Hariz begitu sahaja kalau tak sebab jantan itu yang curang!
“Manalah aku tahu. Tiba-tiba je dulu dia cakap dia nak berubah. Nak tinggal dengan family dia, tak nak balik sini lagi.”
“Apa maksud kau dia tak nak balik sini lagi?” Aishah semakin keliru dengan satu demi satu jawapan yang diterimanya waktu itu.
“Eh… apa susah sangat kau nak faham ni? Dia dah tinggal terus dekat sana. Dia takkan balik sini lagi. Ada faham ke, hah?”
Aishah tergamam. Eli takkan balik lagi? Tapi kenapa dia tidak diberitahu apa-apa? Betul ke apa yang mamat tu cakap tadi? Eli nak berubah??

###

Aishah berjalan-jalan menghirup udara petang di Rumah Penyayang, rumah yang banyak meninggalkan memori Eli padanya. Disebabkan itu dia membuat keputusan untuk berkhidmat di situ selepas sahaja dia menamatkan pengajiannya dulu.
Selain dia memang hendak berbakti kepada anak-anak yang kurang bernasib baik itu, dia sebenarnya masih terikat dengan kata-kata Eli dulu. Dia percaya, satu hari nanti Eli pasti akan datang mencarinya di situ.
Langkah Aishah terhenti apabila dia melalui bangku simen yang menjadi tempat kenangan dia dan Eli. Aishah mengukir senyum.
Kalau ikutkan hati, memang Aishah rasa marah. Kerana Eli tinggalkan dia begitu sahaja. Tapi di sebelah hatinya yang lain, Aishah tahu ada perasaan lain yang lebih membelenggu dirinya. Iaitu rasa rindu.
“Bila dah lama tak jumpa kau ni, rasa rindu gila nak tengok senyum kau yang sweet tu, rindu gila nak tengok jalan kau yang lenggang-lenggok tu, rindu gila nak bau wangi kau yang boleh bau dari sebatu jauh tu, rindu gila nak gelak dengar lawak-lawak kau tu, rindu gila nak dengar celoteh cerita kau yang macam-macam tu. Serius rindu gila dekat kau babe…”
Aishah menghelakan nafas dan cepat-cepat tersedar dari lamunannya.
“Eh, jangan nak ingat-ingat lah! Orang bukan ingat kita pun…” Dia geleng-geleng kepala sambil ketawa sendiri.
Aishah meneruskan langkah namun tiba-tiba terhenti apabila terhidu bau harum yang familiar.
‘Eh takkanlah… Aku banyak sangat fikirkan dia ni, sampai bau dia pun boleh masuk dalam fikiran aku!’ Monolog Aishah namun hidungnya masih kembang-kempis menyedut bau yang sangat dikenalinya itu.
“Assalamualaikum…” Seseorang memberi salam.
“Suara tu…” Wajahnya jelas membuat riak berfikir.
‘Takkanlah dia?’
Aishah berpaling. Terkejut benar reaksinya apabila melihat siapa yang berada di hadapannya sekarang.
“Eli??”

###

Tanpa diduga, Eli lah cikgu baru yang digembar-gemburkan Kira dan Mira tadi. Sungguh Aishah tak percaya yang Eli benar-benar dah berada di depannya waktu ini!
Eli dah lain sekarang. Dia nampak lebih cool dengan mengenakan jeans dan kemeja hitam long sleeve yang lengannya dilipat sehingga ke siku.
‘Smartlah kau pakai macam ni Eli… pakailah selalu…’ Aishah berbisik sendiri. Hilang terus rasa marahnya bila melihatkan wajah kesayangan yang sangat dirinduinya.
“Tak sangka, tercapai jugak cita-cita kau nak jadi cikgu kan?” Soal Aishah memecah kesunyian yang menemani mereka sejak dari tadi. Kini dia dan Eli kembali berada di atas kerusi simen yang pernah diduduki mereka enam tahun yang lalu.
“Yup…” Malangnya hanya sependek itu jawapan dari Eli. Itu membuatkan Aishah kaku untuk bersuara lagi.
“Aku apply nak mengajar dekat sekolah budak-budak ni belajar. Nanti bolehlah aku ajar diorang tuisyen dekat sini sekali.” Eli menyambung kata-katanya bila dilihat Aisyah membisu.
“Ohh…” Aisyah pula menjawab pendek, seolah-olah ingin membalas dendam.
“Makin cantik kau sekarang? Dah bertudung, nampak ayu pulak kau macam ni.” Eli memuji sambil tersenyum manis.
Gulp. Aishah terkedu, tidak tahu apa respon yang patut. Dia sebenarnya tak sangka akan dipuji tiba-tiba begitu. Dia menampal wajahnya dengan senyuman pelik yang akan spontan terukir apabila dia merasa tidak tentu arah.
“Kau tak payah nak usik aku lah, Cikgu Eli…” Aishah sengaja menekankan perkataan cikgu Eli itu.
“Hish… Janganlah panggil aku macam tu. Tak macho langsung! Panggillah aku cikgu Adli.” Di hujung katanya Eli ketawa.
“Oh dah macho? Sejak bila pulak nama kau berubah ni?” Aishah mengejek.
“Hei, tu memang nama aku kan? Sampai hati kau tak tahu!” Eli pura-pura merajuk. Aishah ketawa dan apabila terpandang Eli yang sedang melihatnya, dia berhenti.
“Aku ingat kau dah tak nak jumpa aku lagi?” Soal Aishah perlahan.
“Takkanlah aku tak nak jumpa kau?” Jawab Eli pula.
“Habis masa dekat airport kau kata kau tak boleh terima aku?”
“Aku tak habis cakap lagi sebenarnya masa tu. Ni aku nak sambunglah ni…” Aishah hanya menunggu Eli teruskan kata-katanya.
“Aku memang tak boleh terima kau waktu tu… macam mana nak terima kau? Diri aku sendiri pun aku tak boleh terima. Tapi, lepas aku cari diri aku selama beberapa tahun ni dan aku jumpa diri aku yang sebenar aku sedar separuh lagi diri aku sebenarnya tak ada.”
‘Eleh… nak cakap aku separuh dari diri dia la tu. Hmm… dah tahu dah! Ayat klise…’ Aishah gelak curi-curi dalam hati. Tak bolehlah lepaskan sekarang. Tengah part best ni!
“Kau tak rasa ke apa yang aku rasa?” Tanya Eli tiba-tiba. Aishah jungkit bahu.
“Rasa apa? Tak rasa apa-apa pun…” Haha… Rasakan kau. Dulu kau buat aku macam tu kan? Ujar Aishah dalam hatinya. Senyumnya disimpan.
“Sebenarnya, dari mula kau luahkan perasaan kau pada aku dulu, aku sedar aku rasa sepuluh kali ganda perasaan tu dalam diri aku. Cuma aku tak kuat nak luahkan pada kau.” Eli diam sebentar sebelum menyambung,
“Saat orang lain tak pandang aku macam lelaki-lelaki lain. Kau sorang je yang nampak aku macam betul-betul lelaki.”
“Eh… mana ada aku rasa macam tu?” Aishah mengerutkan dahi sambil mencebik. Pipinya tiba-tiba merah.
“Ye lah tu, kalau tak, takkan kau luah perasaan dekat aku kan?” Eli menyoal dengan nada mengusik.
“Eee… mana ada! Perasanlah kau ni!” Nafi Aishah lagi. Eli ketawa kecil. Wajah Aishah ditenungnya dalam-dalam.
“Aku nak meminang kau ni. Kau nak tak?” Aishah terkedu. Ini tiba-tiba! Namun akhirnya dia mengulum senyum.
“Betul ni kau nak pinang aku? Tak apa ke? Ye lah, aku ni bukannya baik.”
“Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat. Tapi tak bermakna lelaki dan perempuan yang jahat tu harus terus menjadi jahat kan?” Tutur Eli perlahan.
Buat seketika itu, mata mereka bertentang. Namun kerana tidak mahu terus hanyut, keduanya serentak mengalih pandang ke sisi yang bertentangan. Aishah dan Eli senyum-senyum sendiri.
“Jadi, kau dah berubah la ni ek?” Seraya itu Aishah bangun. Eli juga turut ikut bangun tetapi kakinya tiba-tiba tersadung seketul batu.
“Oi mak kau…” Latah Eli spontan. Aishah menoleh lalu ketawa geli hati.
“Okey… tang melatah tu kau tak berubah lagi… Still macam makcik-makcik.” Aishah sambung ketawa. Eli senyum-senyum malu.
“Alah… slow-slow lah. Aku kan budak baru belajar.” Aishah mencebik memerli. Eli datang menghampiri dan berdiri di sebelah Aishah.
“Tapi memang betul pun aku dah berubah. Abang dah gagah dah sekarang ni sayang…” Eli aka Adli itu mengenyitkan matanya sambil tersenyum nakal. Pada mulanya Aishah memang tergamam mendengar ucapan Eli tadi, tapi selepas itu dia melepaskan ketawa besar.
“Sudahlah kau… badan sekeping macam tu, feeling-feeling gagah!” Aishah teruskan ketawa lalu berlalu meninggalkan Eli yang tak tunggu lama, turut mengejarnya dari belakang.
“Hei… betullah… cuba kau tengok aku ni… tengoklah…”

###

Tak pernah aku sangka, cerita yang aku anggap pengakhiran kisah aku dan Eli dulu merupakan permulaan kisah kami sebenarnya. Dan kisah itu pun berlanjutan apabila kini aku dah pun sah serta selamat menjadi isteri kepada Muhammad Adli aka Eli. Hmm… memanglah antara kami tu ada ‘something’ sebenarnya.
-Tamat-