Wednesday 30 October 2013

TIPS UNTUK PEPERIKSAAN :)


BELAJAR UNTUK PEPERIKSAAN


Bersedia untuk belajar

Kepada pelajar SPM saya nasihatkan agar memberikan tumpuan kepada matapelajaran penting.  Iaitu matapelajaran yang membawa anda ke menara gading.  Matapelajaran ini ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan dua matapelajaran elektif (Fizik, Kimia, Biologi, Prinsip Akaun, Ekonomi, Sains Tambahan, Matematik Tambahan, Kejuruteraan). Namun begitu, sekiranya anda mampu, hendaklah anda dapatkan markah yang terbaik bagi semua mata pelajaran.  Sebab persaingan ke universiti kini semakin sengit.  Mereka yang berjaya biasanya memiliki pencapaian yang baik dalam semua mata pelajaran.


Buatkan jadual belajar untuk peperiksaan

Walaupun anda rasakan banyak yang perlu difahami dan diingati, jangan sekali-kali anda panik.  Sekiranya anda panik, anda akan mengundang lebih banyak masalah berbanding penyelesaian.    
Mula menyemak semua buku-buku yang ada termasuk nota sekolah, buku teks, buku rujukan, soalan-soalan ramalan dan soalan-soalan tahun lepas.  Pastikan semuanya lengkap dan dalam keadaan baik. 
  • Langkah pertama kenal pasti bab-bab yang susah dan belum anda kuasai untuk semua mata pelajaran.  Senaraikan bab-bab ini.  Senaraikan juga bab-bab yang telah anda kuasai dengan baik.
  • Langkah kedua buatkan analisa soalan-soalan sejak 5 tahun yang lepas.  Lihat bab-bab yang sering keluar soalan darinya.  Bab-bab ini merupakan bab-bab penting yang tidak boleh tidak mesti anda kuasai dengan baik.
  • Buatkan jadual perancangan belajar anda.  Agihkan tajuk-tajuk dari sekarang hinggalah seminggu sebelum peperiksaan.  Jangan diganggu minggu terakhir sebelum peperiksaan sebab minggu terakhir ini adalah untuk anda lakukan semakan terakhir nanti. 
  •  Mana-mana bab yang penting, mulakan ulangkajinya dahulu.  Lagi awal anda mengulangkaji bab-bab ini lagi cepat anda mengenalpasti dan seterusnya mengatasi setiap masalah.  

Mengingati Tajuk

Ramai pelajar tidak menyedari hakikat penting ini.  Kalau anda mampu mengingati apa tajuk-tajuk yang terkandung dalam sesuatu matapelajaran maka anda mempunyai gambaran yang jelas tentang apa yang anda pelajari.

Buatkan Nota

Setelah anda memahami apa yang dibaca, buatkanlah nota-nota ringkas. Ringkaskan setiap fakta menjadi lebih pendek bagi memudahkan anda mengingatinya.  Kenalpasti kata kunci dalam setiap fakta dan hafal.  Lakarkan peta minda atau peta konsep berdasarkan tajuk-tajuk dan kata kunci yang ada.  

Latih diri anda untuk peperiksaan

Syarat-syarat latihan peperiksaan ialah:
  1. Latih mengeluarkan maklumat dengan banyak, cepat dan tepat.
  2. Latih dalam tempoh masa yang tertentu.
  3. Anggapkan setiap latihan seperti peperiksaan sebenar.
  4. Latih menjawab mengikut strategi menjawab soalan yang berkesan.
1.  Latih mengeluarkan maklumat

Maklumat yang dibaca mestilah mampu dikeluarkan semula.  Oleh itu anda perlu sentiasa melatih diri anda untuk mengeluarkan maklumat yang telah dipelajari.  Perbanyakkan latihan-latihan seperti:
·         Menjawab soalan-soalan;
·         Menceritakan semula apa yang telah dipelajari;
·         Melakarkan kembali dalam bentuk peta konsep / minda;
·         Mengadakan perbincangan dengan rakan;
·         Menyediakan kad imbasan kecil.
·         Mengambarcarakan apa yang telah dipelajari.
·         Sekiranya anda pelajar SPM atau STPM, cuba hasilkan model jawapan soalan esei berdasarkan soalan-soalan yang ada.  Cuba pecahkan fakta-fakta penting dalam bentuk peta minda/konsep.  Ini memudahkan anda mengingati isi-isinya dalam peperiksaan sebenar kelak.

2.  Hadkan masa menjawab

Pastikan anda menjawab dalam had masa yang ditetapkan. 
Oleh itu anda perlu kerap menjalankan latihan ujian.  Iaitu menjawab soalan-soalan dalam had masa seperti dalam peperiksaan.

3.  Anggap seperti peperiksaan sebenar

Pastikan anda bebas dari gangguan, tidak melengahkan masa, tumpuan yang tinggi dan rasakan seolah-olah tekanan peperiksaan yang sebenar.  Elakkan dari meniru sepanjang menjalani latihan ujian.  Gunakan
 strategi menjawab soalan. Ingat masa berjalan, oleh itu jangan sekali-kali biarkan fikiran anda melayang.  Sekiranya soalan itu susah, maka berikanlah jawapan yang terbaik.  

4.  Strategi menjawab soalan

Untuk mendapatkan markah yang tinggi dan mengelak dari berlakunya kecuaian, anda memerlukan strategi menjawab soalan yang berkesan.
 Langkah-langkah berikut dapat membantu:

1.      Baca arahan terlebih dahulu.
2.      Baca arahan terlebih dahulu.
3.      Kenal pasti dan garis kata kunci kepada soalan.
4.      Jawab soalan mengikut turutan berikut:
·         Jawab soalan BONUS - Iaitu soalan yang anda pasti jawapannya betul.  Ia mungkin soalan yang telah anda ramal, atau yang pernah anda latih sebelumnya.
·         Jawab soalan yang senang -  Iaitu soalan yang mampu anda jawab hanya dengan satu kali cubaan.
·         Jawab soalan-soalan yang susah - iaitu soalan yang memerlukan masa yang panjang atau soalan yang anda memang tidak tahu jawapannya.
·         Semak - Pastikan semua soalan dijawab;  Untuk soalan objektif, pastikan tandanya betul.
·         Ulang jawab -  Kalau masih ada masa, ulang jawab soalan bonus dan senang.  Ingat! soalan inilah yang anda pasti lakukan kecuaian oleh itu semak dengan tujuan mencari kesilapan tersebut.  Bukannya menyemak dengan tujuan berpuashati dengan jawapan.  Langkah terakhir barulah ulang jawab soalan-soalan susah.  Itu pun sekiranya masa masih mengizinkan.

Mencari sebab (post-mortem)

Anda perlu mengkaji kelemahan diri anda setiap kali selesai menjawab soalan-soalan.  Setelah anda selesai membuat latihan ujian.  Semak setiap jawapan yang dibuat.  Sekiranya jawapan anda salah maka lakukan 'post-mortem', iaitu proses mencari sebab.  Setiap kesilapan ada sebab-sebabnya dan ini merupakan masalah utama yang perlu anda atasi.  Antara sebab-sebab kesalahan berlaku ialah:
  • Tidak tahu (tidak baca) - Ini bermakna persediaan diri anda kurang.  Maka berikan masa membaca tajuk-tajuk tersebut.
  • Tidak faham - Anda baca tetapi tidak faham.  Tanyakan pada guru atau rakan.
  • Lupa - Ini disebabkan anda kurang mengulangi apa yang telah dipelajari.  
  • Cuai - Pastikan anda mengikuti langkah-langkah dalam Strategi Menjawab Soalan di atas.
  • Keliru - Tanyakan pada guru tentang bentuk soalan yang mengelirukan anda.  Minta penjelasan dari guru sebelum hari peperiksaan agar kesilapan yang sama tidak diulangi.
Jangan buang masa 

Dalam suasana peperiksaan semakin hampir anda perlu gunakan setiap masa yang terluang untuk mengulangkaji.  Sekirannya masa yang terluang tidak sesuai untuk anda membaca dan menghafal, maka gunakan masa tersebut untuk anda melatih mengeluarkan maklumat.  Ceritakan apa yang telah anda pelajari kepada diri anda sendiri.  Lakarkan apa yang anda ketahui pada sehelai kertas.  Aktiviti sebegini mengukuhkan lagi ingatan anda dan memudahkan pengaliran keluar maklumat ketika dalam peperiksaan kelak.


SELAMAT BERAMAL , SEMOGA ANDA BERJAYA.

Tuesday 29 October 2013

Exam semakin hampir?????

Selamat pagi semua.... pasti para pelajar tingkatan 5 sudah berasa debaran dihati. Peperiksaan SPM sudah semakin hampir.... Mari kita buat beberapa persediaan sebelum peperiksaan.. Berikut adalah beberapa persediaan yang perlu para pelajar buat sebelum tiba masa peperiksaan:



KESIHATAN

  • Tidur yang cukup.  Tidur yang cukup ialah diantara 6 - 7 jam sehari.  Kurang tidur menyebabkan anda rasa mengantuk, letih dan boleh jatuh sakit.  Tidur yang berlebihan juga tidak baik untuk kesihatan.  Jadi pastikan anda latih diri anda dengan masa tidur yang optimum ini dari sekarang. 
  • Jaga pemakanan.  Allah s.w.t telah berfirman yang mafhumnya "Makanlah dari makanan yang baik yang telah Kami berikan" (Al-Baqarah : 57).  Yang dimaksudkan sebagai yang baik disini ialah baik dari segi sumbernya (halal), kualitinya (zat), rasanya (enak dan lazat) dan bersih (tidak membawa penyakit dan kemudaratan).  Kepada ibu bapa pastikan anak-anak anda diberi makan makanan dari sumber yang halal.  Makanan yang haram akan menghitamkan dan menggelapkan hati mereka.
  • Riadah.  Jangan beriadah sehingga meletihkan badan.  Ramai pelajar yang bermain hingga penat dan akibatnya anda akan rasa mengantuk untuk mengulangkaji pelajaran.   Anda hanya perlu beriadah selama 20 minit dan sebanyak tiga kali seminggu.  Lakukanlah senaman ringan yang mengeluarkan sedikit peluh.  Disaat-saat akhir sebegini, lupakanlah soal bolasepak, takraw, badminton dan sebagainya.  Anda boleh tangguhkan semua aktiviti yang anda minati ini setelah tamat peperiksaan penting nanti.
KESELAMATAN


Anda perlu menjaga keselamatan diri anda sebaiknya. Jauhkan diri anda dari aktiviti lasak yang boleh membawa kepada kecelakaan.  Elakkan diri dari sebarang kecederaan.  Anda pasti tidak mahu mengambil peperiksaan sewaktu berada dalam wad di hospital.  Memanglah kecelakaan tidak pernah diundang, tetapi kalau anda tidak berhati-hati anda sebenarnya mendedahkan diri kepada pelbagai kemungkinan.  Dalam musim menjelangnya peperiksaan, lebihkan masa anda untuk berada dirumah.




Pelbagai Gambaran Negatif.

Kerapkali masalah yang dihadapi oleh pelajar apabila hampir dengan peperiksaan ialah takutkan kegagalan.   Walau pun anda telah berusaha bersungguh-sungguh namun perasaan takutkan kegagalan ini sering mengganggu fikiran.  Antara keadaan yang menekan diri pelajar ialah:
  • Menyerah kalah sebelum berjuang.  Ini disebabkan kerana mereka rasakan yang mereka tidak punya harapan lagi.  Mereka rasakan buat apa belajar kalau dah tahu hasilnya nanti ialah kegagalan.  Mereka percaya yang mereka akan gagal dalam peperiksaan berdasarkan kepada keputusan peperiksaan atau ujian-ujian sebelum ini.  Mereka cuba membaca tetapi dengan keyakinan bahawa tidak mungkin mereka mampu memahami dan mengingati setiap fakta yang dibaca.
  • Merasa belum bersedia.  Keadaan yang kedua pula berlaku kepada mereka yang sememangnya belajar.  Mereka rasakan yang diri belum cukup bersedia.   Mereka sentiasa fikirkan apa akan berlaku kalau segala usaha ini sia-sia?  Apa akan terjadi kalau apa yang dibaca kelak lupa?  Betapa malunya nanti kalau kawan-kawan yang kurang berusaha mendapat keputusan yang jauh lebih baik?  Semua ini bermain difikiran.
  • Harapan ibu bapa yang terlalu tinggi.  Tidak ada ibu bapa yang tidak mengharapkan kejayaan anak-anak.  Ada ketikanya pula ibu bapa berulangkali menyatakan harapan mereka kepada anak-anak tanpa memikirkan kemampuan sebenar diri anak.  Harapan yang terlalu tinggi ini ada ketikanya menjadi beban kepada anak-anak hinggakan mengganggu fikiran mereka.  Kepada ibu bapa, saya sarankan agar dorong anak-anak berusaha gigih dan melakukan yang terbaik mengikut kemampuan masing-masing.  Nyatakan dengan jelas bahawa apa yang anda mahukan ialah anak-anak melakukan yang terbaik dan sungguh-sungguh.  Anda redha walau apa sekalipun keputusannya kelak.  Ini akan mengurangkan tekanan atas diri anak-anak.
Berfikiran Positif

Bagi mengatasi segala tekanan mental seperti di atas anda perlulah berfikiran positif.  Fokuskan mental anda kepada apa yang perlu anda lakukan dan apa pula hasil yang anda harapkan.  Tidak perlu anda bimbang apa keputusan yang bakal diperolehi tetapi anda perlu bimbang kalau-kalau anda tidak menggunakan sisa-sisa masa yang masih ada untuk berusaha sepenuhnya.
Sekiranya anda memikirkan kegagalan maka anda hanya tergambar pelbagai rintangan dan halangan.  Ini akan melemahkan semangat anda.  Ia juga membuatkan anda meragui kebolehan diri anda.  
Dalam berusaha anda mesti berpegang kepada kata-kata seperti:
"Sedikit pencapaian itu lebih baik dari tiada
pencapaian langsung".
"Something is better than nothing"

Lakukan "Latihan Minda" setiap hari.

"If you can't see it, you can't have it".
Kata-kata di atas menunjukkan bahawa untuk mencapai sesuatu kejayaan itu maka gambaran kejayaan mestilah terlebih dahulu wujud dalam pemikiran.  Sebelum anda mampu mendapat 8A dalam PMR, maka 8A itu mesti terlebih dahulu ada dalam pemikiran.  Ia ibarat menghasilkan sebuah lukisan, anda tidak akan melakar sesuatu yang anda tidak gambarkan.  Lakaran anda berasaskan kepada apa yang anda nampak dalam mata minda.  Begitulah juga dengan kehidupan ini.   Anda tidak akan menhasilkan sesuatu yang anda tidak gambarkan.  Oleh itu, gambarkanlah kejayaan dan anda pasti akan terdorong untuk merealisasikan apa yang digambarkan itu.  Makin jelas gambaran yang ada, makin tinggilah kesungguhan anda untuk merealisasikannya.
Untuk membantu anda menggambar dengan baik, anda perlu membuat latihan minda seperti dibawah.
  1. Duduk dikerusi anda dengan selesa.  Tangan diletakkan di atas peha.  Badan tidak bersandar.  Tenangkan fikiran dan kendurkan setiap otot, sendi, uratsaraf dan pejamkan mata anda.
  2. Tarik nafas beberapa kali dalam-dalam.  Tarik melalui hidung dan hembuskan melalui mulut.  Ketika nafas ditarik, gambarkan yang anda menyedut keyakinan diri.  Ketika nafas dibuang, gambarkan yang anda membuang segala ketakutan dan kebimbangan.
  3. Saya percaya anda pernah capai kejayaan sebelum ini, sama ada kecil atau besar.  Saya mahu anda kembali kepada peristiwa kejayaan itu.  Kejayaan itu mungkin berkaitan dengan pelajaran, sukan, debat dan sebagainya.  Pilih satu yang paling bermakna kepada anda.  Dimana ia berlaku?  Apa yang berlaku?  Apa yang anda dapat lihat?  Suara apa yang anda dengar? Kalau ada tepukat, dengar tepukan gemuruh ketika itu.  Kalau ada puji-pujian dengarkan duara siapa yang memuji itu. Gambarkannya secara jelas mengikut kemampuan anda.  Dengar suara yang ada dengan jelas.  Rasakan apa perasaan anda ketika itu.  Rasakan keseronokan anda pernah dipuji.  Rasakan kebanggaan anda sebagai orang yang berjaya ketika itu.  Hadirkan perasaan itu kembali.
  4. Apabila perasaan yakin dan bangga mula memuncak, cubit sedikit kedua-dua peha anda dengan tangan.  Biar terasa sedikit sakit.  Buka mata anda, dan pejam kembali.  Ulang langkah 2 - 4 beberapa kali.
  5. Kini pejamkan mata, gambarkan anda melangkah masuk ke dewan peperiksaan.  Gambarkan anda duduk dikerusi dan diatas meja tersedia kertas soalan.  Rasakan ketenangan dalam dewan.   Gambarkan kini anda membelek-belek kertas soalan dan anda dapati semua apa yang anda baca keluar.  Rasakan kegembiraan itu.  Gambarkan bagaimana anda menjawab setiap soalan satu persatu dengan penuh keyakinan.  Ide keluar mencurah-curah.  Gambarkan 8A dalam PMR (Gred 1 untuk SPM).  Ketika ini sekali lagi cubit kedua-dua peha anda seperti yang telah anda lakukan dalam langkah 4 tadi.
  6. Buka mata anda, ulangi langkah 5 beberapa kali.
  7. Buatkan latihan minda ini 10 - 15 minit setiap hari.  Sekiranya anda lakukan latihan ini sungguh-sungguh setiap hari, anda dapat mengawal perasaan takut anda ketika berada didewan peperiksaan dengan menarik nafas dan mencubit kedua-dua peha.  
Kejayaan latihan minda di atas banyak bergantung kepada kesungguhan anda melatih diri, kekerapan latihan dan tumpuan anda. 


Dalam saat-saat menghadapi peperiksaan, anda perlu mengelak diri dari sebarang bentuk gangguan emosi.  Perkara-perkara yang berikut perlu dielakkan:
  • Pertengkaran dengan rakan-rakan;
  • Melakukan perkara yang membuatkan ibu bapa marah;
  • Cinta monyet yang mungkin kecundang disaat-saat peperiksaan;
  • Bersikap terlalu yakin - "overconfident";
  • Berprasangka buruk terhadap orang lain;
Ramai pelajar bertindakbalas secara spontan terhadap sesuatu yang berlaku terhadap mereka.  Tindakbalas spontan ini menjadi tabiat semulajadi mereka.   Apa perasaan anda kalau rakan membohongi anda?  Anda mungkin serta-merta menjadi marah.  Apa berlaku kalau rakan memulau dan mengejek anda?  Anda mungkin rasa tersinggung dan kecil hati.  Kalaulah begini tindakbalas spontan anda, apa akan berlaku dengan persediaan peperiksaan anda?  Anda pasti tidak mampu memberikan tumpuan untuk mengulangkaji.  Ada ketikanya luka dihati berkekalan berhari-hari.
Kenapa tidak selepas ini kawal emosi anda.  Jangan izinkan sesiapa melukai hati anda.  Mereka boleh berkata apa sahaja, mereka boleh berbohong dan sebagainya.  Mereka ada suara, biarkanlah mereka.  Anda cuma pekakkan telinga.  Banyakkan bersikap sabar.  Teruskan sahaja kerja anda.  Kekalkan matlamat peperiksaan anda.  Apabila anda berjaya satu hari nanti, rakan-rakan akan mula menghormati anda.
Sebenarnya peristiwa tidak mencetuskan sebarang emosi.  Tanggapan atau paradigma andalah yang mencetuskan emosi.  Kita boleh melihat setiap perkara yang berlaku terhadap diri kita dari dua perspektif, iaitu positif atau negatif.  Mulai hari ini ambillah dari sudut yang positif.  Ingatlah setiap apa yang berlaku adalah ujian Allah dan ada hikmah sekiranya anda bersabar.  Dengan cara ini anda mampu membenteng emosi anda.



Selain dari persediaan fizikal, mental dan emosi, persediaan rohani juga perlu.  Anda perlu faham kedudukan kita sebagai hamba hanyalah mampu melakukan usaha sebaik mungkin tetapi hasil sebenarnya Allah  lah yang menentukannya.  Ketenangan jiwa dan fikiran sangat perlu disaat-saat menghadapi peperiksaan, oleh itu lakukanlah sesuatu untuk meraih ketenangan ini.
Antara perkara yang boleh anda lakukan ialah:
  1. Sentiasa bermunajat kepada Allah.  Lakukan solat hajat dan pohon agar Allah campakkan ketenangan dan terangkan hati dalam menghadapi peperiksaan.  Minta pada Allah agar apa yang dipelajari keluar dalam peperiksaan.
  2. Minta restu kedua ibu bapa.  Doa ibu bapa untuk anaknya sangat makbul.  Jadi mintalah restu dari keduanya.  Mintalah mereka mendoakan kejayaan anda.
  3. Banyakkan berzikir dan membaca al-Quran.  Hati yang banyak berzikir akan memperolehi ketenangan.  Hati juga lebih terang apabila anda sering membaca al-quran.   Allah telah berfirman dalam surah ar-Ra'ad, ayat 28, yang mafhumnya "Sesungguhnya dengan mengingat Allah akan menjadi tenanglah semua hati".
  4. Jauhi maksiat.  Jauhi diri anda dari perbuatan maksiat dan dosa besar.  Mereka yang bergelumang dengan maksiat mempunyai jiwa yang resah.  Hidup juga tidak diberkati Allah.
  5. Banyakkan berdoa.  Pastikan anda berdoa mengikut adab-adab berdoa.



Monday 28 October 2013

Bermulanya satu pendidikan


Perpustakaan merupakan satu tempat dimana beradanya perbagai ilmu dunia dan akhirat. Tugas seorang insan untuk mencari gali segala ilmu di situ. Buanglah perasaan malas dan berjalanlah ke PSS untuk menimba ilmu yang pelbagai di sana.


  • Pendidikan bukan persiapan untuk hidup; pendidikan adalah kehidupan itu sendiri. (John Dewey) 

Sunday 27 October 2013

Pengenalan

Pembinaan Blog PSS SMKJELI merupakan satu langkah mempromosikan PSS sekolah. Semoga mendapat sambutan dan bersama menyokong dan memperbaiki lagi PSS sekolah.